Isnin, 30 September 2019

PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK) DALAM PENDIDIKAN

Assalammualaikum wbtuh...


Perkembangan pesat dalam bidang Teknologi terutama Tenologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) membawa banyak perubahan terhadap kaedah Pembelajaran dan PemudahCaraan (PdPC) dalam kalangan guru-guru. Akibat daripada itu, kaedah belajar dalam kalangan pelajar sekolah menengah, sekolah rendah dan di Universiti juga bertambah baik. Perkembangan terkini menyaksikan TMK menjadi alat pemangkin utama untuk menyebar dan menyimpan maklumat dan seterusnya membantu pelajar-pelajar membina pengetahuan baharu dalam semua bidang. Penggunaan TMK dalam PdPC sebenarnya adalah untuk menyahut cabaran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang memperkenalkan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) sejak tahun 2014. 

Proses pembaharuan dalam bidang pendidikan jelas dapat dilihat dari aspek perkembangan dan pengintegrasian komputer serta pengaplikasian. Hal ini adalah selaras dengan perkembangan TMK yang telah menjurus kepada suatu zaman baharu yang dikenali sebagai “Arena Ledakan Maklumat” yang dipengaruhi oleh alatan elektronik terutama dalam bidang pendidikan. KPM telah berusaha menggabungkan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai salah satu pelantar bagi melaksanakan aktiviti PdPC di sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Pengaplikasian komputer dan perisian yang tepat dan betul dalam sistem pendidikan negara mampu memantapkan lagi proses PdPC berdasarkan keperluan dan kehendak semasa. Komputer merupakan suatu alat atau peranti elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan yang dapat membantu dalam menyelesaikan pelbagai masalah dan melaksanakan kerja-kerja harian dengan mudah dan sempurna tanpa sebarang halangan.

Di antara komponan komputer ialah perkakasan, perisian, pemprosesan dan perisian Authoring Flash, Tools, Adobe Photo Shop perisian seperti e-mel, Twitter, Face Book, Blog dan sebagainya. Menurut sumber Plan Induk Pembangunan Pendidikan (2001-2010), salah satu punca masalah pelajar tidak mendapat keputusan cemerlang adalah kerana 62% guru masih menggunakan kaedah pengajaran tradisional seperti kaedah gabungan, kaedah pendekatan campuran dan papan hitam dengan kapur (chalk and talk),  malah guru-guru tersebut juga tidak menggunakan TMK untuk menarik minat pelajar-pelajar terhadap PdPC sesuatu mata pelajaran. Selain itu, kaedah tradisional juga tidak merangsang dalam proses pembelajaran mata pelajaran tertentu. Pengajaran menggunakan kapur dan papan hitam dikenal pasti menjadi punca pelajar lemah dalam akademik dan melahirkan pelajar-pelajar yang kurang bermotivasi terhadap pengajaran yang dikendalikan oleh guru-guru dalam kelas. 

Sementara itu, sebelum adanya komputer, alat yang biasa digunakan untuk persembahan dalam PdPC di kelas adalah menggunakan papan hitam, papan putih, kertas mahjong, kertas bergambar, poster dan flash kad dan sebagainya. Tetapi setelah kemunculan TMK, pengajaran dan pembelajaran terutamanya untuk persembahan menjadi lebih mudah dan menarik minat pelajar. Alat persembahan yang biasa digunakan berbentuk LCD projektor, Skrin LCD dan Skrin LED. Semua alat ini boleh disambungkan ke komputer peribadi (CPU), komputer riba dan komputer tablet. PdPC yang menggunakan multimedia seperti komputer, video, radio, televisyen, kamera digital, pemancar cristal cecair (LCD) dan sebagainya sering dikatakan amat berkesan berbanding dengan kaedah tradisional.  


Kajian-kajian dalam negara dan luar negara juga membuktikan bahawa penggunaan TMK seperti perisian pengajaran multimedia mampu meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam akademik. Penggunaan TMK dalam subjek Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah daerah California USA pada tahun 2006 mendapati pelajar-pelajar gemar dan bergembira mengikuti PdPC dalam kelas berbanding dengan pengajaran berbentuk tradisional. 

Melalui penggunaan TMK dalam sesi PdPC di kelas menjadikan lebih berkesan terutamanya dapat meningkatkan kefahaman, minat, bermotivasi tinggi dan menambahkan pengetahuan pelajar. Maka pelbagai kaedah pengajaran perlu diperluaskan berasaskan TMK, modul-modul pengajaran kendiri, modul interaktif dan seumpamanya perlu dibudayakan supaya PdPC menjadi lebih berkesan dan memberi rangsangan baharu dalam kalangan pelajar sekolah rendah. 

Justeru itu, KPM juga berusaha untuk merapatkan jurang pendidikan di antara pelajar-pelajar di sekolah bandar dengan pelajar-pelajar di sekolah luar bandar seperti mana yang terkandung di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) pada tahun 2006-2010. Contohnya, projek yang dilaksananakan ialah membangunkan projek TMK di sekolah-sekolah Orang Asli, menyediakan makmal komputer di sekolah-sekolah luar bandar dan bandar seluruh negara dengan pengwujudan dan rangkaian SchoolNet, Pusat Akses (Cybercafe) dan kemudahan siaran TV Pendidikan melalui ASTRO.  Fenomena ini membawa kepada satu senario baharu dalam kalangan pelajar-pelajar yang ketinggalan zaman dalam bidang penggunaan TMK semasa PdPC dilaksanakan. 

Dalam era globalisasi ini, penggunaan TMK amat sesuai untuk dijadikan sebagai alat yang boleh membantu guru-guru dalam proses PdPC kerana dapat menarik minat pelajar dalam proses PdPC dalam dan luar kelas. Sementara itu, TMK juga dapat digunakan sebagai sumber pencarian maklumat bahan ilmiah di Internet dan aplikasi atas talian yang lain. Pengajaran yang disertakan dengan bahan bantu belajar yang sebegini dapat menarik minat pelajar-pelajar di dalam sesuatu bidang tertentu. 

Menurut Robert & Kristi (2004), dengan langkah mempelbagaikan bahan pengajaran, modul-modul pengajaran kendiri seperti CDROM, perisian interaktif, bahan multimedia yang mempunyai unsur-unsur simulasi dan animasi membantu pelajar-pelajar menguasai ilmu bagi sesuatu mata pelajaran di dalam dan di luar kelas. Melalui penggunaan TMK dapat memperkayakan teknik pengajaran serta pelengkap kepada penyampaian maklumat pengajaran yang berkesan. Oleh yang demikian, para pendidik seharusnya mengamalkan kepelbagaian dalam kaedah PdPC disekolah dengan penggunaan TMK.

Dengan bertambahnya maklumat, pengetahuan dan ilmu yang diperoleh menerusi TMK ini, guru-guru pasti berupaya memberi nilai tambah kepada mata pelajaran yang diajarnya. Oleh itu, guru-guru sewajarnya bersikap kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan kaedah PdPC dalam kelas, terutamanya dengan mengaplikasikan penggunaan TMK. Pendidik harus dinamik dan bersikap proaktif serta responsif terhadap sebarang perkembangan pendidikan dari masa ke masa. Guru juga perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan kaedah penyampaian mata pelajaran kepada pelajar-pelajar. Oleh yang demikian, penggunaan TMK dicadangkan supaya diaplikasikan dalam proses PdPC di semua sekolah.

2 ulasan:

  1. Betul tu. Zaman dah maju, kaedah pengajaran pun perlu pelbagai.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zaman teknologi semua maklumat hanya di hujung jari

      Padam