Isnin, 14 Oktober 2019

KAHOOT

Assalammualaikum wbtuh...

Kini, selaras dengan zaman PAK21 terdapat pelbagai Alat Penilaian (Assessment Tool) yang boleh digunakan oleh para guru dalam sesi PdPC di kelas. Misalnya adalah seperti QuizletSocrative, Kahoot, EdPuzzle, Quizizz dan lain-lain. Alat-alat penilaian tersebut semestinya yang memerlukan guru menggunakan TMK dalam sesi PdPC dan alat tersebut sangat menarik perhatian pelajar.


Pada hari ini saya nak kongsikan satu aplikasi online yang sangat menarik untuk dicuba. Mungkin ramai yang dan pernah cuba. Tapi saya percaya, lebih ramai lagi yang belum pernah cuba sebenarnya. Maka saya akan memperkenalkan kepada anda semua dengan Kahoot Apa itu Kahoot?


Kahoot merupakan suatu aplikasi kuiz secara online yang dibina oleh guru untuk merangsang minat pelajar semasa proses PdPC melalui suasana pembelajaran yang sangat menarik dan interaktif. Aplikasi ini dapat digunakan melalui pelbagai peranti antaranya ialah komputer, tablet dan telefon pintar. Guru dapat membina pelbagai kuiz berkaitan topik yang ingin diuji dengan berkongsi nombor pin kuiz tersebut untuk dijawab oleh pelajar. Skrin dihadapan kelas akan menjadi paparan utama yang akan memaparkan soalan manakala pelajar pula akan menggunakan peranti masing-masing untuk menjawab soalan berdasarkan beberapa pilihan jawapan yang diberi. Secara tidak langsung, perkara ini akan menjadikan pelajar lebih fokus dalam menjawab soalan kerana aplikasi ini memerlukan murid mengutamakan soalan yang hanya terdapat pada paparan skrin utama di hadapan kelas. Kahoot sangat membantu dalam sesi PdPC supaya kelas lebih ceria dan paling penting, pelajar-pelajar kita pasti amat menyukainya !

PELAKSANAAN

Untuk dapatkan idea dan keseronokannya, jemput tonton terlebih dahulu video pengalaman saya dan pelajar menggunakan Kahoot ! Jangan lupa juga tengok keterujaan murid, setiap kali menjawab dan setiap kali mendapat jawapan.

Kelas/Tingkatan : 4S Xiao
Bilangan Pelajar : 54 orang
Tarikh : 01 Oktober 2019 (Selasa)
Masa : 40 minit (10.10am - 10.50am)
Subjek : Bahasa Malaysia (Peribahasa)

Alat Bantu Mengajar (ABM) yang saya guna dalam sesi PdPC saya pada hari itu ialah komputer, skrin LCD, projektor LCD dan telefon pintar bagi para pelajar.

Seronok kan? Nampak sangat pelajar bersungguh-sungguh ambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran ini. Sehinggakan semasa sesi PdPC pada hari itu, saya terpaksa menenangkan pelajar dengan meminta mereka senyap beberapa kali kerana keadaan kelas terlalu meriah pada hari itu. Pelajar bersaing antara satu sama lain bagi mendapatkan markah yang paling tinggi. Kalau berminat, jom kita sambung baca dengan langkah-langkah menggunakan Kahoot !

Langkah-Langkah :
  • Guru perlu ke https://getkahoot.com untuk membina akaun sendiri. Boleh log in menggunakan google atau microsoft. Dalam akaun Kahoot nanti anda boleh lihat akaun soalan yang telah dibina oleh orang lain.


  • Seterusnya, mula lah membina set soalan anda masing-masing. Gunakan kreativiti semasa membina soalan. Boleh masukkan teks/gambar/video. Soalan KBAT juga boleh di soal jika guru bijak menggunakan kreativiti masing-masing.
  • Contohnya pada hari tersebut saya telah mengajar Peribahasa Melayu kepada pelajar saya. Objektif PdPC saya adalah, di akhir pembelajaran pelajar dapat mengetahui maksud jenis-jenis peribahasa. Selain itu, pelajar dapat mengenali peribahasa-peribahasa yang sering digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu. Bukan itu sahaja, pelajar dapat mengetahui maksud-maksud peribahasa dengan baik. Di bawah ini contoh 15 soalan yang telah saya bina.
  • Pada hari kejadian, sebelum saya memulakan kuiz Kahoot, aktiviti PdPC pertama yang saya lakukan ialah saya telah menerangkan terlebih dahulu maksud jenis-jenis peribahasa secara terperinci. Saya juga memberikan pelbagai contoh yang sesuai (PAK21) dalam PdPC agar pelajar dapat memahami perbezaan antara jenis peribahasa tersebut. Slaid menarik dan cantik yang saya gunakan pada hari itu ialah dari SlideCarnival.


  • Kemudian, aktiviti kedua ialah saya buat kuiz cepat atau lebih dikenali dengan nama Quick Quiz dalam aktiviti PAK21. Saya buat kuiz Kahoot mengenai peribahasa yang telah dipelajari pada hari tersebut. Tujuan kuiz yang digunakan adalan untuk menilai kefahaman murid tentang pengetahuan sedia ada atau apa yang telah mereka pelajari (awal/akhir) PdPC.
  • Pada hari tersebut saya minta pelajar duduk dalam meja bulat melakukan aktiviti PAK21 Rakan Berbual (Talk Partners) agar mereka diberi peluang berbual atau berbincang mengenai topik yang dipelajari dengan rakan mereka.
  • Seterusnya, saya minta pelajar-pelajar log in di https://kahoot.it untuk memulakan kuiz. Boleh guna pc, boleh guna laptop, boleh juga guna telefon pintar. 
  • Minta pelajar tunggu Game PIN untuk dimasukkan dalam telefon pintar masing-masing. Ingat ya ! Game PIN tu akan berubah-ubah setiap kali kita bermain dalam tu. Maka tidak perlu salin dalam buku. Tunggu je yang keluar pada skrin di hadapan. 
  • Sebaik sahaja guru memulakan kuiz, Game PIN akan dikeluarkan di skrin. Maka pelajar perlu berlumba-lumba memasukkan Game PIN tu melalui telefon pintar masing-masing.
  • Kemudian, pelajar perlu masukkan Nickname mereka bagi tujuan identifikasi. Bilangan dan nama pelajar yang sudah menyertai kuiz akan terpampang di skrin.
  • Tunggu sehingga selesai semua pelajar log in dalam kuiz, maka guru boleh mulakan sesi. Sebaiknya maklumkan pelajar beberapa syarat kuiz. Sebagai contoh, masa yang diperuntukkan untuk setiap soalan dan lain-lain yang berkenaan. Pada hari itu, pelajar saya yang log in kuiz hanya 46/54 orang pelajar sahaja. 
  • Soalan akan terpampang pada skrin di hadapan. 

  • Pelajar akan menjawab di telefon pintar masing-masing dengan hanya memilih pilihan jawapan yang betul. Semua pelajar memasukkan jawapan masing-masing.
  • Selesai masa menjawab yang diberikan, jawapan sebenar akan keluar. 
  • Setiap pelajar akan mendapat keputusan sama ada betul atau salah pada skrin telefon pintar masing-masing. Contoh di bawah ini seramai 41 orang pelajar dapat menjawab soalan dengan betul dan hanya 5 orang sahaja memberikan jawapan yang salah.
  • Manakala pada skrin di hadapan pula, terpapar senarai Top 5 pelajar dengan markah tertinggi. Markah tertinggi diberikan kepada pelajar dengan jawapan yang betul dan jawapan yang paling cepat dimasukkan.
  • Teruskan dengan soalan seterusnya sehingga selesai menjawab semua soalan.
  • Selesai soalan terakhir, markah penuh dengan tiga nama pelajar Top Scorer akan dipaparkan di akhir kuiz. Mesti bangga sungguh siapa yang namanya terpampang pada skrin di hadapan.

Menarik kan? InshaAllah pelajar-pelajar pasti akan sangat suka dengan aktiviti seperti itu. Jika mahu bagi pelajar suka lagi, minta pelajar gunakan telefon pintar mereka masing-masing. Dapatkan kebenaran daripada pihak pentadbir sekolah. Pada hari  tersebut, saya telah meminta kebenaran daripada pihak pentadbir sekolah supaya pelajar boleh menggunakan telefon pintar masing-masing di dalam kelas. Kemudian ambil langkah-langkah proaktif, seperti guru yang menyimpan untuk pelajar semasa sesi sekolah. Ataupun seperti di sekolah saya, pelajar dikehendaki menyimpan telefon pintar masing-masing di dalam kotak berkunci yang disediakan di setiap kelas.

KELEBIHAN

Terdapat banyak kelebihan penggunaan kuiz Kahoot kepada guru dan pelajar dalam sesi PdPC yang dijalankan. Antaranya ialah :
  • Soalan yang boleh diset. Saya dapat membina pelbagai kuiz berkaitan topik yang ingin diuji dengan berkongsi nombor pin kuiz tersebut untuk dijawab oleh pelajar. Kahoot juga memberikan kebebasan untuk saya menetapkan bilangan soalan, bilangan jawapan, menetapkan lama masa menunggu jawapan pelajar, bentuk soalan (teks/gambar/video) dan lain-lain.
  • Soalan boleh disimpan dalam akaun masing-masing. Ini juga satu kelebihan untuk saya. Sebab tidak perlu membawa pendrive. Jika terlupa, boleh terus dapatkan daripada akaun masing-masing. Susunkan dalam bentuk format yang tertentu mengikut bab/subtopik supaya mudah bila nak guna dengan pelajar nanti.
  • Dalam talian. Boleh diakses di mana-mana selagi ada capaian internet.
  • Pelbagai guna. Boleh digunakan semasa sesi PdPC, set induksi, kuiz, latihan pengukuhan, kerja rumah, ulangkaji, bincang soalan peperiksaan dan lain-lain lagi mengikut kreativiti guru.
  • Saya tidak perlu menanda jawapan pelajar (jawapan terus menerus dipaparkan selepas setiap soalan)
  • Ianya sangat sesuai untuk mengadakan kuiz di dalam kelas sebaik sahaja selesai sesuatu topik pembelajaran. Jadi mudah untuk para pelajar menguji sejauh mana kefahaman mereka.
  • Sangat interaktif. Pelajar dapat peluang menguruskan sendiri jawapan mereka di komputer/telefon pintar/tablet masing-masing. Apabila pelajar sendiri yang dapat tekan, dapat terlibat dengan aktif, maka mereka akan lebih tertarik.
  • Secara tidak langsung, perkara ini akan menjadikan pelajar fokus dalam menjawab soalan kerana aplikasi ini memerlukan pelajar mengutamakan soalan yang hanya terdapat pada paparan skrin utama di hadapan kelas.
  • Ada sistem ranking. Setiap kali selepas soalan dijawab, akan keluar satu ranking, top 5 nama pelajar dengan markah paling banyak. Pelajar yang menjawab paling cepat dan paling tepat daripada pilihan jawapan, akan berada di ranking paling atas. Sudah tentu lah, mereka akan berlumba-lumba dan bersemangat untuk menjawab soalan seterusnya dengan paling betul dan paling cepat.
  • Pelajar juga dapat melihat kepantasan mereka dalam menjawab soalan melalui kedudukan dan masa yang dipaparkan pada skrin utama di hadapan kelas. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan suasana persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar melalui permaian secara interaktif.
  • Kahoot juga mampu mewujudkan suasana PdPC yang menyeronokkan dan mendisiplinkan murid dari segi peruntukkan masa menjawab sesuatu soalan.
  • Penggunaan Kahoot dalam PdPC juga turut menerapkan unsur didik hibur dan dilihat sangat sesuai dilaksanakan dalam pembelajaran abad ke 21.
KELEMAHAN

Walaupun terdapat banyak kebaikan penggunaan kuiz Kahoot, namun terdapat juga kelemahannya tetapi hanya sedikit dan tidaklah terlalu ketara. Antara kelemahan Kahoot ialah :
  • Tidak semua pelajar membawa telefon pintar masing-masing ke sekolah. Jadi, bagi pelajar yang tidak mempunyai telefon, mereka tidak dapat turut serta dalam kuiz Kahoot tersebut. 
  • Jika komputer, skrin LCD atau projektor LCD di dalam kelas tidak dapat berfungsi, maka kuiz tidak dapat dijalankan. Walaupun guru boleh membawa pelajar ke bilik komputer sebagai jalan penyelesaian, namun hal itu telah membazirkan masa guru dan pelajar. Masa PdPC pada hari itu akan sia-sia begitu sahaja.
  • Jika papan pintar dalam akaun Kahoot guru tidak berfungsi, maka sukar untuk guru memaparkan soalan.
  • Sesi PdPC yang menggunakan Kahoot juga akan terganggu jika ada berlaku masalah internet pada hari itu. Tidak semua pelajar juga mempunyai data internet. Jika ada data sekalipun, ianya terlalu perlahan dan sukar untuk mereka melayari laman web Kahoot.
CADANGAN

Justeru, penambahbaikan perlulah dilakukan terhadap kelemahan tersebut. Antaranya, pihak sekolah mestilah membuat pemeriksaan dari masa ke masa terhadap komputer, skrin LCD dan projektor LCD di dalam kelas. Semua ABM tersebut mestilah sentiasa dipastikan dalam keadaan yang baik. Selain itu, pihak sekolah juga harus menubuhkan lebih banyak bilik yang mempunyai kemudahan komputer khas untuk para pelajar agar guru dapat menjalankan aktiviti Kahoot dengan lancar, pelajar tidak perlu menggunakan telefon pintar sendiri. Bukan itu sahaja, pihak sekolah juga boleh menyediakan internet di dalam setiap kelas, mudah bagi guru yang mahu membuat kuiz Kahoot tersebut di dalam kelas. Sesungguhnya, penambahbaikan tersebut akan memudahkan dan melancarkan tugas guru.

Pada hari itu, saya berasa sangat puas kerana objektif PdPC saya telah tercapai, di akhir pembelajaran pelajar dapat membezakan jenis peribahasa. Selain itu, pelajar dapat mengenali peribahasa-peribahasa yang sering digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu. Bukan itu sahaja, pelajar dapat mengetahui maksud-maksud peribahasa dengan baik melalui aktiviti ketiga iaitu semasa saya menerangkan maksud bagi setiap peribahasa secara terperinci

Oh ya sebelum saya terlupa, selepas tamat kuiz pada hari itu, saya juga telah memberikan hadiah atau ganjaran kepada setiap pelajar yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga. Saya berbuat demikian kerana saya percaya dengan ganjaran tersebut akan membuatkan semua pelajar lebih bermotivasi dan sebagai galakan kepada mereka untuk buat dengan lebih baik lagi dan belajar bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, semoga perkongsian saya ini mampu memberi pengetahuan baharu kepada rakan guru yang berminat untuk mencuba pendekatan TMK dalam PdPC. Semoga membantu !

Di bawah ini antara video maklum balas kebaikan penggunaan Kahoot daripada pelajar saya, juga gambar-gambar di sebalik tabir sepanjang PdPC berlangsung. Jumpa lagi pada perkongsian seterusnya ! 












5 ulasan:

  1. Entry yang amat menarik. Terima kasih atas perkongsian anda

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih. Semoga perkongsian ini dapat membantu para guru.

      Padam
  2. Best la kahoot ni. Bole main kuiz n jawap jawap soalan. Jadi tak la pelajar bosan dengan kaedah pembelajaran yang sama sahaja

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya memang betul..Kahoot sangat seronok..boleh cuba juga untuk ibu bapa guna di rumah bersama anak-anak :)

      Padam
  3. Terima kasih atas perkongsian. Satu perkongsian yang sangat menarik untuk digunakan di dalam kelas.

    BalasPadam