Jumaat, 11 Oktober 2019

MYTEACH

Assalammualaikum wbtuh...

Jumpa lagi kita dalam blog ni. Sihat ke semua? Harap sihat-sihat hendaknya. Semoga hari ini lebih baik dari hari sebelumnya. Baiklah pada hari ini saya akan berkongsi mengenai penggunaan satu perisian pendidikan yang dikenali sebagai Myteach. Apa itu Myteach?
Myteach Sdn Bhd telah ditubuhkan pada tahun 2009 dengan tujuan membangunkan perisian pendidikan berkualiti untuk meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Selama bertahun-tahun, Myteach telah mencapai kejayaan besar di seluruh Malaysia di mana beribu-ribu guru telah mendapat faedah daripada kemudahan menggunakan PNP Practice PNP dan Generator Paper Exam. Ramai pelajar juga telah meningkatkan kefahaman mereka tentang kesusasteraan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dengan mengikuti Kursus Pengajaran Guru PNP. Pada tahun 2016, Myteach menceburi bidang penerbitan buku modul Oh My Guru (OMG). Antara produk Myteach termasuklah KinderTab, JOI KinderTab, OMG (Oh My Guru), myReader (Multimedia Teacher Courseware)

Itulah serba sedikit pengenalan mengenai Myteach. Sebenarnya saya sendiri pun tidak berapa tahu dengan lebih lanjut mengenai Myteach, saya mengetahui kewujudan Myteach hanya selepas sekolah saya membeli perisian pendidikan tersebut iaitu produk myReader dalam bentuk PowerPoint ATM (Advance Teaching Module), tidak silap saya mulai tahun 2016. MyReader ialah kursus pengajaran Komponen Sastera Bahasa Malaysia (KOMSAS). Siri animasi tersebut adalah berdasarkan artikel yang terdapat dalam sukatan pelajaran KOMSAS Bahasa Malaysia seperti yang ditakrifkan oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Pada tahun ini pula sekolah saya mula melanggan buku modul Oh My Guru (OMG) di mana para pelajar diwajibkan membelinya dan menggunakan buku tersebut sebagai rujukan utama. 

PELAKSANAAN

Jadi, hari ini saya akan berkongsi pengalaman saya menggunakan Myteach semasa menjalankan Pembelajaran dan PemudahCaraan (PdPC) di dalam kelas. Video di bawah ini bukti saya menggunakan Myteach untuk mengajar pelajar saya.


Kelas/Tingkatan : 4S Xiao
Bilangan Pelajar : 54 orang
Tarikh : 30 September 2019 (Isnin)
Masa : 40 minit (7.45am - 8.25am)
Subjek : Bahasa Malaysia (Puisi Moden - Sajak Gelanggang)

Pada hari tersebut saya telah mengajar puisi moden iaitu Sajak Gelanggang yang ditulis oleh Onn Malini. Objektif PdPC saya adalah, di akhir pembelajaran pelajar dapat mendeklamasikan sajak dengan gaya dan nada yang betul. Selain itu, pelajar juga dapat memahami maksud sajak dalam setiap rangkap. Bukan itu sahaja, berdasarkan maksud-maksud sajak dalam setiap rangkap tersebut, pelajar dapat mengeluarkan aspek-aspek komsas yang lain. Objektif lain ialah dapat membina keyakinan pelajar untuk melibatkan diri dalam pembelajaran di dalam kelas melalui aktiviti mendeklamasi sajak dan soal jawab.

Saya menggunakan TMK dalam PdPC iaitu komputer, skrin LCD dan projektor LCD sebagai alat bantu mengajar (ABM). Dengan bahan ini, saya dapat membuat persiapan awal dengan mudah. Segala maklumat yang ingin disampaikan kepada pelajar disediakan di dalam komputer dan dipancarkan kepada pelajar. Manakala pelajar pula menggunakan buku model Oh My Guru (OMG) sebagai bahan rujukan utama. Pendekatan strategi yang digunakan ialah berpusatkan guru, berpusatkan murid dan berpusatkan alat bantu mengajar.

Pada hari tersebut saya hanya memberikan fokus kepada maksud setiap rangkap sajak sahaja. Saya menggunakan Myteach dengan memasang suara sajak mengikut nada sajak yang betul dalam induksi set. Saya memilih pendekatan ini kerana saya percaya bahawa  pelajar gemar kepada sesuatu tayangan yang dapat dilihat dan bunyi yang menarik berbanding dengan kaedah pengajaran tradisional. Jadi, suara sajak dalam Myteach yang dipasang itu menjadikan pelajar dapat memahami cara untuk mendeklamasikan sajak dengan betul.

Selepas habis memainkan suara sajak dalam setiap rangkap menggunakan Myteach, aktiviti pertama yang saya lakukan ialah aktiviti Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) iaitu aktiviti Mendeklamasikan Sajak. Pelajar perlu mendeklamasikan semula sajak seperti yang mereka dengar dalam Myteach. Saya telah memanggil dua orang pelajar iaitu seorang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan untuk mendeklamasikan sajak Gelanggang di hadapan kelas. Pelajar lelaki mendeklamasikan sajak terlebih dahulu sehingga habis, kemudian diikuti oleh rakan pasangannya iaitu pelajar perempuan. Bagi pembangunan diri murid itu sendiri, saya dan rakan pelajar lain telah memberikan komen yang membina dari segi penggunaan bahasa badan, nada suara, dan sebagainya. Daripada aktiviti tersebut, pelajar dapat membina keyakinan diri kerana berani tampil untuk mendeklamasikan sajak di hadapan rakan-rakan lain.

Kemudian, aktiviti kedua dalam PdPC pada hari itu ialah saya menerangkan maksud setiap rangkap sajak secara terperinci sehingga pelajar betul-betul dapat memahaminya dengan jelas. Saya juga menggunakan Myteach dan penerangan guru dipancarkan melalui LCD. Dalam Myteach tersebut, maksud sajak disertakan sekali dengan gambar animasi bergerak yang berwarna-warni. Setiap gambar yang disediakan dalam Myteach tersebut sememangnya menggambarkan maksud setiap rangkap sajak tersebut. Semasa dalam penerangan juga, saya bersoal jawab dengan pelajar sama ada mereka faham atau pun tidak. Saya juga memberikan contoh-contoh yang sesuai berkaitan sajak tersebut.

Selepas penerangan maksud sajak rangkap demi rangkap selesai, aktiviti ketiga ialah saya menggalakkan pelajar untuk memberi pandangan tentang topik yang sedang dibincangkan. Pandangan yang tidak tersasar daripada topik perbincangan harus diterima oleh guru supaya pelajar-pelajar berasa selesa dan seronok untuk mengutarakan idea-idea mereka. Selain itu, saya juga melakukan sesi soal jawab dengan pelajar tentang Sajak Gelanggang tersebut. Di situlah berlakunya komunikasi di antara guru dengan murid untuk berkongsi ilmu yang difahami tentang topik pembelajaran pada hari itu. Ini yang dikatakan sebagai komunikasi berpusatkan murid. Maka, komunikasi yang berkesan telah terhasil.

Di akhir pembelajaran, saya meminta murid untuk menyatakan nilai murni yang bersesuaian dengan topik pembelajaran pada hari tersebut. Kemudian, saya menilai sama ada pelajar-pelajar memahami nilai murni yang dinyatakan ataupun tidak. Adakah mereka tahu cara-cara untuk menerapkan nilai-nilai murni itu dalam tingkah laku mereka?. Elemen ini amat penting untuk diterapkan dalam diri murid-murid dan apakah kesan amalan nilai tersebut terhadap diri, masyarakat, agama dan juga negara. Guru merupakan insan yang paling rapat dengan pelajar ketika mereka berada di sekolah. Oleh itu, guru seharusnya berusaha untuk menerapkan nilai-nilai yang positif dalam diri pelajar semasa sesi PdPC berlangsung.

KELEBIHAN

Terdapat banyak kelebihan penggunaan TMK dan Myteach dalam PdPC yang dijalankan. Antaranya ialah pelajar suka akan cara saya mengajar dengan bantuan komputer dan pelajar lebih memberikan tumpuan jika saya menggunakan cara ini. Berbanding jika hanya saya sahaja yang bercakap di dalam kelas tanpa menggunakan komputer, pelajar akan cepat berasa bosan dan tidak akan memberikan tumpuan semasa PdPC berlangsung. Selain itu, melalui aktiviti induksi set, di mana saya telah memasang suara sajak menggunakan Myteach mengikut nada sajak yang betul dan diperdengarkan kepada pelajar menjadikan pelajar dapat memahami cara untuk mendeklamasikan sajak dengan betul. Seterusnya, pelajar dapat memahami dengan jelas maksud setiap rangkap sajak melalui aktiviti kedua iaitu penerangan maksud sajak secara terperinci menggunakan Myteach. Hal ini dikatakan demikian kerana, dalam Myteach tersebut, maksud sajak disertakan sekali dengan gambar yang berkaitan dengan maksud sajak. Suara sajak yang merdu dan gambar animasi bergerak berwarna-warni dalam Myteach tersebut telah menarik perhatian pelajar. Pelajar dapat memberikan lebih tumpuan sepanjang PdPC berlangsung. Pelajar juga tidak akan berasa bosan apabila guru menggunakan Myteach berbanding dengan kaedah pengajaran tradisional. Seterusnya, pelajar juga tertarik dengan kecanggihan Myteach tersebut kerana menggunakan link-link untuk pergi ke slaid yang seterusnya. Link-link tersebut juga amat memudahkan para guru untuk memaparkan terus sesuatu contoh topik yang di ajar kepada pelajar.

KELEMAHAN

Walaupun terdapat banyak kebaikan Myteach tersebut, namun terdapat juga kelemahannya tetapi hanya sedikit dan tidaklah terlalu ketara. Antara kelemahan Myteach tersebut ialah tulisan yang digunakan dalam Myteach tersebut terlalu kecil. Hal ini menyebabkan pelajar yang duduk di barisan tepi atau di barisan belakang tidak dapat melihat dengan jelas. Selain itu, apabila guru mahu mengubah tulisan tersebut, semasa di komputer riba guru tulisan tersebut kelihatan jelas, namun apabila slaid Myteach dipaparkan pada skrin LCD di dalam kelas, tulisan tersebut tidak telah hilang. Hal ini telah menimbulkan kesukaran kepada guru. Saya rasa hanya itu sahaja kelemahan Myteach. 

CADANGAN

Justeru, syarikat Myteach Sdn Bhd perlulah melakukan penambahbaikan terhadap kelemahan tersebut dari semasa ke semasa. Antaranya, Myteach boleh mengubah tulisan yang kecil menjadi lebih besar dan jelas supaya semua pelajar yang duduk di tepi atau di belakang kelas dapat melihatnya dengan jelas apabila guru memaparkannya pada skrin LCD. Penambahbaikan tersebut juga akan memudahkan dan melancarkan tugas guru.

Pada hari itu, saya berasa sangat puas kerana objektif PdPC saya telah tercapai. Pelajar dapat mendeklamasikan sajak dengan gaya dan nada yang betul. Selain itu, pelajar juga dapat memahami maksud sajak dalam setiap rangkap. Bukan itu sahaja, berdasarkan maksud sajak dalam setiap rangkap tersebut, pelajar dapat mengeluarkan aspek-aspek komsas yang lain. Pelajar juga dapat membina keyakinan diri melalui aktiviti mendeklamasi sajak dan soal jawab.

Kesimpulannya, sebagai seorang guru Bahasa Malaysia, saya juga mengharapkan agar rakan-rakan guru yang lain dapat mengaplikasikan pelbagai teknik pengajaran terutamanya melibatkan penggunaan TMK dalam sesi PdPC dan yang berpusatkan pelajar. Salah satunya adalah dengan menggunakan Myteach. Sesungguhnya penggunaan Myteach dalam sesi PdPC dapat menarik perhatian para pelajar dan amat membantu saya sebagai seorang guru.

Untuk melihat dengan lebih jelas suara pendeklamasi puisi moden yang direka cipta oleh Myteach Sdn Bhd adalah seperti di bawah.


Baiklah sebelum saya mengundurkan diri dalam perkongsian ini, mari kita lihat antara video maklum balas kebaikan penggunaan Myteach daripada pelajar saya, juga gambar-gambar sepanjang PdPC berlangsung. Jumpa lagi pada perkongsian seterusnya ! 


Muka depan Myteach Sajak Gelanggang

Ini contoh penggunaan link-link yang digunakan dalam Myteach untuk pergi ke slaid lain

Pelajar lelaki mendeklamasikan sajak

Pelajar perempuan mendeklamasikan sajak

Gambar animasi bergerak yang berwarna-warni

2 ulasan:

  1. Wahhh menarikk myteach. Makin pandai la n senang faham pelajar bila ada myteach ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya...Myteach boleh membantu para pelajar untuk memahami sesuatu pembelajaran dengan mudah dan cepat

      Padam